Buku Apa Ni?

Buku Apa Ni?


بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

*AMARAN SKALA MERAH JAMBU !

Sila baca sinopsis di bawah sampai habis dengan mata yang bersinar cahaya purnama, muka teruja dan bajet comel, air Vico panas dan roti Nan cheese di sebelah, tangan letak kat dagu gaya comel serta bibir tersenyum sampai ke side burn bahagian atas. Dan jangan berhenti sehingga air mata tak mengalir. Ok gurau je. Hambar pula.

Bedtime Story Sentap atau nama glemernya BSS (Siri Pertama) ini adalah sebuah mahakarya cinta yang saya tulis hasil dari tadabbur beberapa ayat pilihan dari setiap juzuk al Quran.  Ini bukan cerita Frozen, siri komik Masked Rider Kuuga ataupun himpunan cerita seram Mak Lampir untuk dibacakan sebelum tidur.

Setiap ayat yang dipilih mempunyai aura berapi bagai yang tersendiri dan ia berkait rapat dengan masalah serta apa yang berlaku di dalam dan sekitar saya dan korang semua. Kalau korang baca, insyaAllah korang takkan menyesal bahkan korang akan menanti siri kedua dan seterusnya walaupun saya dah berjaya tarik duit RM20.00 atau lebih dari dompet korang. Huh.

Dalam siri pertama ini, saya himpunkan 15 juzuk iaitu dari juzuk 1 sampailah ke juzuk 15. Dan siri kedua akan datang insyaAllah kalau tiada taufan Katherina datang melanda ataupun penyapu datang menyergah kepala saya, akan dihimpunkan juzuk 16 sehingga 30.

Macam Mana Buku Ni Boleh Lahir Ke Dunia?

Kalau korang baru mengikuti perkembangan Tarbiah Sentap (TS) terutama yang isu Kpop hari tu (ops), pada awalnya saya menulis BSS ni hampir setiap malam mengenai kisah Rasulullah, para sahabat, dan beberapa kisah alim ‘ulama.

Tetapi sampailah satu hari, berlaku satu isu yang menggegarkan tanah air sehingga 1433.421 skala poorter, iaitu isu kempen “I want to touch a dog”. Kami di Tarbiah Sentap mengambil inisiatif untuk lawan balik kempen tu dengan cara reverse osmosis. Eh, reverse psychology.

Apa dia?

Iaitu kami buat buat pula kempen “Saya mahu sentuh al Quran” (SMSQ). Jadi salah satu isi dalam kempen yang kami buat ni adalah BSS edisi 30 juzuk al Quran. Yang mana saya secara peribadi menulis BSS hampir setiap malam sehingga 30 hari dengan setiap malam tu, saya pilih beberapa ayat dari setiap juzuk untuk ditadabbur.

Kemudian lepas cadangan daripada ramai follower dan juga sahabat sebantal, akhirnya saya mengkitabkannya. Eh.

Apa Rujukan Buku Ni Hah?

Rilek. Jangan marah-marah. Buku ni rujukan utamanya saya bagi kredit kepada Ustaz Nouman Ali Khan (UNAK), seorang pendakwah yang super duper trooper powerful colorful wonderful cheerful dan segala ful yang ada. Beliau ni berasal dari Amerika, dan terkenal di benua Eropah malah kat Benua Amerika sekali. Biodata penuh dia boleh tanya abe Gugel yang tak hensem.

Dia ada rancangan sendiri, korang boleh buka al Bayyinah TV dan Quran Weekly. Masa Ramadhan 2 tahun lepas, UNAK ada buat siri “1 day 1 Juz” yang mana dia memilih 1 ayat daripada setiap juzuk, dan kongsikan tadabbur serta tafsir dan juga praktikalnya untuk hari ni.

Masa saya follow 30 siri tu, saya pun cakap,

“Peh.. Ini sumpah osem gila gaban ! (sory pinjam ayat APG).”

Saya pun fikir, video ni sangat manfaat bahkan sesuai dengan kita kat Malaysia ni. Jadi saya yang kononnya rajin ni ditambah pula dengan kempen SMSQ, dengan izin Allah saya pun terjemah satu persatu videonya (kecuali 2 juz) TANPA mengubah maksud penyampaian. Cuma cara tulisan dan ayat je guna cara saya, bukan gaya skema peperiksaan.

Buku Ni Dalam Bahasa Melayu Ke Mat Saleh?

Bahasa Melayu pasar borong tanpa dialek mana-mana tempat. Kalau ada yang rajin, bolehlah terjemahan kepada dialek kelate, ganu, nogori, sarawak, sabah bah, dan mana-manalah. Hatta terjemah dalam bahasa lain pun okay juga.

Buku Ni Sama Macam Buku Tarbiah Sentap?

Buku ini TAK sama macam buku Tarbiah Sentap. Kepada korang yang dah membaca buku Tarbiah Sentap, buku BSS ini ibarat supplement untuk korang. Korang kena baca buku TS dan BSS ni sekaligus, baru ada UMPHH dan ‘KICK’ !

Korang ingat Herbalife je ke ada supplement?

Buku Ni Untuk Aku Ke?

Kepada korang yang membaca sinopsis ini, buku ini sah sesuai untuk KORANG semua. Tapi kena beli la. Baik punya promote. Hehe.

Secara jujurnya, dulu masa saya tulis BSS ni, sebelum saya terfikir untuk membukukannya, sasaran saya adalah kesemua lapisan masyarakat.

Daripada orang yang dah berkahwin dan ada anak cucu, sehinggalah kanak-kanak yang baru belajar membaca alif ba ta. Malah buku ni juga bukan hanya untuk Muslim, malah untuk Non Muslim pun boleh insyaAllah. Cumanya, gaya penulisannya yang terlalu santai mungkin tak berapa rangup dibaca oleh sebahagian orang yang dah berusia. Tetapi isinya insyaAllah hingga menjilat air mata.

Akhir sekali, Moga buku ini ada bermanfaat untuk korang, dan bagi manfaat untuk saya, dan saya dan saya juga. Dan jangan lupa ajak mak ayah, adik beradik, sanak saudara, sepupu sepapat, jiran tetangga, ahli rukun tetangga, taman sebelah, dan seluruh angkasaraya untuk dapatkan buku ni. Nanti menyesal tanpa henti pula.

Wallahua’alam.


Moga Allah Redha,
Ahmad Shukery Azizan,
Krew Tarbiah Sentap.


Nota kaki tangan kepala :

1. Tadabbur tu maksudnya secara umum adalah renungan untuk mendalami ayat al Quran. Supaya dibaca dengan roh, bukan lisan semata-mata.

2.  Sorry la guna “korang”, dah jadi macam ™ kami dalam tulisan atau ceramah umum. Kalau berhubung secara peribadi je baru tak guna korang. Maaf kalau ada yang tak selesa (sedang melutut).